Assalamualaikum dan semoga anda semua sihat hendaknya di bumi Allah ini.
Syukur, Alhamdulliah. Kita semua masih berada di muka bumi ini. Dan, tidakkah kita berasa kerdil di hadapanNya kerana sudi memberi nikmat yang cukup sempurna iaitu IMAN dan ISLAM?
Kebelakangan ini, saya cuba mencari makna tersirat di dalam UJIAN. Ia tak pernah dilihat dari mata kasar manusia malah dari penggunaan miskroskop di makmal sains. Benar, UJIAN yang ditimpa cukup meresahkan hati, minda dan tenaga manusia. Mencari solusi penyelesaian memerlukan keazaman yang teguh. Jelas sekali bahawa memulakan jalan untuk membina kehidupan yang dikehendaki amat mudah, tetapi pertengahannya, jalan yang dipilih kelihatan bercabang dan bersimpang-siur. Bagaimana pula pengakhirannya? Mengapa saya berkata begitu?
Permulaan sebuah kehidupan selalunya dapat dirasai dengan semangat azam dalam diri sendiri. Saya yakin akan aturan takdir yang ditulis pada semua manusia sudah tercatat di Luh Mahfuz. Sama ada permulaan kehidupan seseorang itu dalam nikmat KEKAYAAN atau KESUSAHAN, hanya dirinya sendiri berupaya menghadapi liku-liku jalan kehidupan tersebut. Malah, dengan berbekalkan semangat keyakinannya pada Allah juga menentukan segala takdirnya.
