Assalamualaikum dan semoga anda semua sihat hendaknya di bumi Allah ini.
Syukur, Alhamdulliah. Kita semua masih berada di muka bumi ini. Dan, tidakkah kita berasa kerdil di hadapanNya kerana sudi memberi nikmat yang cukup sempurna iaitu IMAN dan ISLAM?
Kebelakangan ini, saya cuba mencari makna tersirat di dalam UJIAN. Ia tak pernah dilihat dari mata kasar manusia malah dari penggunaan miskroskop di makmal sains. Benar, UJIAN yang ditimpa cukup meresahkan hati, minda dan tenaga manusia. Mencari solusi penyelesaian memerlukan keazaman yang teguh. Jelas sekali bahawa memulakan jalan untuk membina kehidupan yang dikehendaki amat mudah, tetapi pertengahannya, jalan yang dipilih kelihatan bercabang dan bersimpang-siur. Bagaimana pula pengakhirannya? Mengapa saya berkata begitu?
Permulaan sebuah kehidupan selalunya dapat dirasai dengan semangat azam dalam diri sendiri. Saya yakin akan aturan takdir yang ditulis pada semua manusia sudah tercatat di Luh Mahfuz. Sama ada permulaan kehidupan seseorang itu dalam nikmat KEKAYAAN atau KESUSAHAN, hanya dirinya sendiri berupaya menghadapi liku-liku jalan kehidupan tersebut. Malah, dengan berbekalkan semangat keyakinannya pada Allah juga menentukan segala takdirnya.
Di sebalik semangat keyakinan, tersembunyi segala perasaan resah di dalam hati hambaNya. Hati yang selama ini lemah dengan nafsu seakan-akan berbisik kepada diri sendiri tentang keupayaan menghadapi jalan yang dipilih. Maka, benarlah kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. tentang hati. “Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari). Bukankah, HATI pengawal segala kunci tingkah laku manusia? Seelok-eloknya, jangan memilih bisikan daripada HATI, sebaliknya pilihlah bisikan dari AKAL FIKIRAN.
Saya pasti tentang HATI yang saya sebutkan ini selalu dijumpai di artikel atau di laman web untuk mengatasi keresahan jiwa. Tetapi, fokus saya bukan hanya tertumpu kepada HATI, malah kepada UJIAN dan HIKMAH. UJIAN selalu terjadi pada awal, pertengahan dan pengakhiran hidup manusia. Malah, UJIAN yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta bukan sahaja terhad kepada yang berkemampuan menerimanya dan ini juga bererti bahawa bukan calang-calang orang yang menerima kurniaan UJIAN dariNya. Maha Suci Allah yang telah menetapkan semuanya dari dahulu lagi. UJIAN yang dikurniakanNya nyata menguatkan dalaman seseorang. Bersyukurlah kepadaNya akan nikmat yang kita tidak mampu membalasnya dengan wang ringgit sewaktu kita menghadapi UJIAN dengan linangan air mata yang selama ini susah untuk menuruni pipi.
Para pembaca yang dikasihi Allah,
HIKMAH. Enam huruf perkataan ini amat selalu saya mencarinya di dalam setiap UJIANNya kepada saya. Nyata, HIKMAH yang dikatakan semua orang amat misteri nilainya. HIKMAH yang diberikannya iaitu HIKMAH tersurat dan HIKMAH tersirat bukankah merapatkan jurang kita kepada Yang Maha Pencipta Alam ini? Bagi saya, HIKMAH tersurat sangat senang dilihat di hadapan mata. Bagaimana pula dengan HIKMAH tersirat? Bagaimana mahu mencarinya? Persoalan tentang ini sangat misteri bagi mereka yang mencarinya seperti saya. Dengan segala kesusahan dan kesenangan yang dilalui, hanya satu sahaja yang dapat saya memohon dariNya, semoga Dia menguatkan hati manusia yang lemah dengan bisikan syaitan untuk menghadapi segala tipu daya DUNIA ini. Allahu. InsyaAllah. Semoga kita sama-sama dapat mencari barakah dalam UJIANNya.
Saya tidak menafikan bahawa semua yang terjadi dalam hidup ini adalah peringatan dariNya agar jangan mudah terleka akan kemewahan duniawi. Malah, saya boleh katakan apabila kita semua dapat mencari HIKMAH tersirat, InsyaAllah, kesannya akan dirasai oleh semua pergerakan tingkah laku kita. Bagaimanakah kita pada masa itu? Menangis teresak-esak atau menangis kegembiraankah?
Dimanakah kita pada masa itu? Akan menyesalkah atau kelegaankah yang bakal terucap dari bibir kita?
Bait demi bait, patah demi patah yang dinukilkan ini semoga anda semua mendapat manfaatnya. Kata-kata yang dikarang ini berdasarkan pengamatan dan perhatian saya terhadap diri sendiri, orang lain di sekeliling saya, mereka yang jauh di mata saya tetapi dekat pada hati saya dan mereka yang saya tidak pernah bertemu tetapi saya amat mengkagumi tingkah lakunya. SubhanaAllah. Hanya Allah sahaja yang layak menerima pujian ini.
Maka, persoalan demi persoalan yang selalu bermain di minda saya sepatutnya menjadi menjadi pertanyaan anda " Dimanakah HIKMAH tersirat olehNya kepada saya?" dan "Hati yang berbintik hitam, bagaimana pula hendak membersihkannya supaya dapat mencari HIKMAH tersirat?" Tarbiahkan hati. Tenangkan jiwa. Kosongkan minda kita berfikir tentang
semuanya.

No comments:
Post a Comment